Hak penjagaan anak dalam islam. Ibu & ayah siapa lebih berhak?

Hadhanah dalam islam
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.

Betapa besarnya nikmat yang diberikan kepada suami isteri yang dianugerahkan anak anak. Kehadiran cahaya mata bukan saja menyerikan rumah tangga, malah mereka juga menjadi ladang pahala selepas kita tiada lagi di dunia.

Senarai artikel di dalam siri hadhanah
  1. Hadhanah - Hak penjagaan anak dalam islam. (Artikel ini)
  2. Makna hadhanah dari pelbagai sumber muktabar.
  3. Apakah yang melayakkan seseorang mendapat hak jagaan anak?
  4. Berapa lama tempoh jagaan hadhanah?
  5. Proses perlaksanaan hadhanah oleh Mahkamah Syariah di Malaysia.


Agama islam menuntut setiap penganutnya supaya memelihara nasab keturunan yang baik, dan salah satu caranya adalah melalui konsep Maqasid al-Syariah yang terkenal iaitu hifz al-nasl.

“Hifz al-nasl” boleh diertikan sebagai penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan keturunan manusia di atas muka bumi ini.

Penjagaan keturunan ini wajib dijaga dari kedua dua aspek rohani & jasmani untuk memastikan kelangsungan tujuan manusia diutus ke muka bumi iaitu sebagai khalifah yang mentadbir alam ini menurut undang undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Penting untuk kita menjaga sistem kekeluargaan islam supaya anak-anak yang lahir melalui suami dan isteri yang halal, bukan daripada hubungan zina. Akibatnya, anak yang lahir bukan dari perkahwinan yang sah ini akan hilang haknya terhadap nafkah dan nasab kekeluargaan yang semestinya hak asasi setiap insan. Menyebabkan mereka disisihkan dari masyarakat.

Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran, Surah Al Baqarah. Ayat 266

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَن تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ لَهُ فِيهَا مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَأَصَابَهُ الْكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَاءُ فَأَصَابَهَا إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحْتَرَقَتْ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).”

Sungguh penting sekali untuk suami isteri memastikan zuriat yang dilahirkan terjaga dan dilindungi sebaiknya, walaupun sekiranya mahligai rumah tangga yang dibina runtuh akibat penceraian.

Agama Islam memberikan kita panduan yang jelas untuk memastikan penjagaan keturunan manusia supaya kekal membiak di bumi ciptaan Allah SWT, dan mampu melaksanakan tugas hakiki seorang Khalifah.


Apakah maksud hadanah?


Pengertian hadhanah (الحضانة)  dari aspek bahasa berasal daripada perkataan al-hidnu (الحضن) yang membawa erti rusuk, dada atau sisi badan. Perkataan hadhanah dipilih untuk urusan mengasuh kanak kanak kebiasaannya seorang pengasuh akan sentiasa mengendong anak yang diasuh di sisi badannya.



Secara umumnya, Hadanah boleh ditakrifkan sebagai penjagaan anak anak lelaki dan perempuan kecil yang belum mampu menguruskan kehendak dirinya sendiri. Sama ada semasa perkahwinan mahupun sekiranya berlakunya perpisahan suami isteri.

Terdapat banyak kitab yang telah ditulis oleh ulama tentang pengertian hadhanah, anda boleh rujuk link di bawah untuk rujukan lanjut.

Rujukan tambahan


Apakah tujuan hukum hadhanah?


Tujuan utama perlaksanaan hadhanah ialah menjaga kebajikan atau maslahat kanak kanak. Kajian moden sendiri membuktikan, usia 7 tahun pertama kanak kanak sangat penting dalam perkembangan sahsiah diri & emosi anak anak. Iaitu peringkat usia kanak kanak belum mumaiyiz.


Seorang pengasuh atau penjaga yang dipertanggungjawabkan mestilah mampu memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak sewaktu berada dalam tanggungannya. Inilah hikmah turutan penjaga hadanah dalam islam diberikan kepada waris dari belah perempuan dahulu kerana wanita memang dikurnikan fitrah lemah lembut & penyayang kepada anak anak.

Dalam islam, ibu lebih berhak berbanding bapa dalam penjagaan anak mereka kerana keupayaannya yang lebih sabar serta kasih sayangnya mengasuh dan mendidik anak. Sesuatu yang sangat didambakan anak anak pada usia tersebut.

Di Malaysia, jika berlaku perselisihan di kalangan penjaga kanak kanak yang tersenarai dalam turutan. urusan penentuan penjagaan kanak-kanak diselia oleh mahkamah syariah dan hendaklah mengikut turutan yang telah ditetapkan oleh islam supaya kepentingan anak anak tidak terjejas.


Ayat ayat Al Quran berkaitan Hadhanah.



1. Surah Al-Baqarah ayat ke 233


وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Ertinya: “Dan ibu-ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama tempoh dua tahun yang lengkap bagi mereka yang mahu menyempurnakan susuan.”

Dua orang tokoh ilmuwan islam iaitu Imam al-Qurthubi & Imam Abu Hanifah sependapat dalam menaksirkan ayat ini:

’Ayat ini menjadi dalil di sisi Imam Malik bahawa hadhanah (hak penjagaan anak) adalah milik bagi seorang ibu. Maka dia berhak menjaga anak lelaki sehingga tempoh baligh dan anak perempuan sehingga tempoh dia berkahwin. Ia (hak penjagaan anak) adalah milik ibu. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah.’’



Hadis hadis berkaitan hadhanah


Hadis hadhanah


Hadis 1 - Riwayat Abu Daud (2276). Dinilai hasan oleh Syeikh Al al-Baani.


Ianya sabit melalui hadis Nabi SAW melalui Abdullah bin `Amr R.Anhuma ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, putting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”.

Berdasarkan dalil di atas begitu juga dengan dalil-dalil yang lain, telah ijma` sekalian muslimin akan pensyariatan hadhanah ini bagi menjaga kebajikan si anak yang masih kecil setelah berlaku penceraian di antara sepasang suami isteri.


Hadis 2


Imam Al-Nasai’e dan selainnya telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA :

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ لَهُ: زَوْجِي يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِي، فَقَالَ لَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:" هَذَا أَبُوكَ وَهَذِهِ أُمُّكَ فَخُذْ أَيَّهُمَا شِئْتَ فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang perempuan telah datang kepada Nabi SAW lalu berkata kepada baginda: “Suami aku mahu mengambil anak lelaki aku.’’ Maka Nabi SAW berkata kepada anak lelaki tersebut: ‘’Ini adalah bapa kamu dan ini adalah ibu kamu, maka pilihlah yang mana satu yang kamu mahu (untuk bersama)’’. Maka anak tersebut memegang tangan ibunya.”


Hadis 3 - Riwayat al-Tirmidzi (1357)


Daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيَّرَ غُلَامًا بَيْنَ أَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW memberikan pilihan kepada seorang ghulam antara bapanya dan ibu”


Hadis 4 - Riwayat Abu Daud (2277)


Rasulullah SAW bersabda:

فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ زَوْجِى يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِى، وَقَدْ سَقَانِى مِنْ بِئْرِ أَبِى عِنَبَةَ وَقَدْ نَفَعَنِى. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اسْتَهِمَا عَلَيْهِ. فَقَالَ زَوْجُهَا: مَنْ يُحَاقُّنِى فِى وَلَدِي، فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَبُوكَ، وَهَذِهِ أُمُّكَ، فَخُذْ بِيَدِ أَيِّهِمَا شِئْتَ فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ فَانْطَلَقَتْ بِهِ

Maksudnya: “Seorang perempuan menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasululllah! Bekas suamiku ingin mengambil anakku. Anakku telah memberiku minum daripada telaga Abu ‘Inabah. Sesungguhnya, dia amat berguna kepadaku.” Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah undian.” Maka bekas suami perempuan tersebut berkata: “Sesiapa yang boleh menghalangku daripada anakku!” Rasulullah SAW bersabda: “Ini bapamu dan ini pula ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu pilih.” Lalu, anak tersebut pun memegang tangan ibunya dan mengikutnya pulang.”




Hak Hadhanah


Jika berlakunya penceraian pasangan suami isteri yang mempunyai anak lelaki / perempuan dengan usia yang masih kecil seperti bayi, dan semestinya sangat memerlukan asuhan dan kasih sayang, dalam kes ini ibunya lebih berhak terhadap anak tersebut.

Hak untuk penjagaan anak (hadhanah) diberikan kepada ibunya semasa umur anak tersebut masih kecil dan menyusu. Pada usia ini, anak anak belum sampai tahap boleh membezakan baik buruk sesuatu tindakan, apatah lagi memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapanya. Dalam keadaan ini, anak tersebut mestilah diberikan kepada ibu untuk diasuh olehnya.

Anak tersebut akan kekal diasuh oleh ibunya sehingga mencapai usianya sudah tidak menyusu, dan boleh berfikir sendiri untuk membezakan tingkah laku ayah atau ibunya. Walaupun anak ini sudah cukup besar, tetapi belum mumaiyiz & masih memerlukan asuhan, pada usia ini anak diberikan pilihan untuk mengikut sama ada ibu atau bapanya.


Urutan hadhanah / hak pengasuhan anak dalam islam.



Siapakah yang menentukan hak penjagaan anak di Malaysia?


Apabila berlaku pertelingkahan mengenai hadanah di Malaysia, mahkamah Syariah adalah badan berwajib yang dipertanggungjawabkan dengan autoriti untuk memutuskan hadanah.


Apakah pertimbangan yang diambil kira oleh mahkamah syariah dalam hadhanah?

Perkara yang menjadi pertimbangan utama Mahkamah Syariah ialah
  • Kebajikan kanak-kanak tersebut.
  • Kemahuan ibu & ayah kanak-kanak.
  • Kemahuan kanak-kanak tersbeut jika sudah dalam peringkat usia yang telah mampu memberikan pendapatnya sendiri.


Siapakah yang lebih layak mendapatkan hak penjagaan anak?


Agama islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam menentukan pihak yang paling layak mendapat hak hadhanah anak selepas berlakunya pembubaran ikatan perkahwinan suami isteri adalah ibu anak-anak tersebut.

Mahkamah Syariah akan menetapkan keputusan hadhanah. Namun sekiranya mahkamah mendapati si ibu telah pun hilang kelayakannya menjaga anak tersebut, hak penjagaan ini akan beralih kepada pihak pihak yang disenaraikan di bawah.
  1. Nenek pihak ibu hingga ke atas peringkatnya.
  2. Bapa.
  3. Nenek pihak bapa hingga ke atas peringkatnya.
  4. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  5. Kakak atau adik perempuan seibu.
  6. Kakak atau adik perempuan sebapa.
  7. Anak perempuan dari sebelah kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  8. Anak perempuan dari sebelah kakak atau adik seibu.
  9. Anak perempuan dari sebelah kakak atau adik perempuan sebapa.
  10. Ibu saudara dari sebelah ibu.
  11. Ibu saudara dari sebelah bapa.

Mahkamah akan mengambil kira orang yang diberikan hak penjagaan anak anak tersebut tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak tersebut.

Walaupun hak hadhanah telah diberikan kepada sesuatu pihak, hak ini bukan muktamad. Ada beberapa situasi hak penjagaan anak yang diberikan oleh mahkamah boleh ditarik balik.


Apakah perkara perkara yang menyebabkan hilangnya hak jagaan anak anak?


Bagi memastikan kebajikan anak anak dipelihara, mahkamah akan meneliti kedudukan pihak penjaga semasa hak hadhanah diberikan. Namun begitu, hak ini boleh terbatal sekiranya berlakunya keadaan di bawah.
  • Sekiranya wanita tersebut berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  • Sekiranya wanita tersebut berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  • Sekiranya wanita tersebut menukar pemastautinannya (berpindah) dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  • Sekiranya wanita tersebut keluar dari islam / murtad.
  • Sekiranya wanita tersebut mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.



Berapa lamakah tempoh jagaan hadhanah?


Hak jagaan untuk anak anak bermula sejak anak tersebut lahir sehinggan mereka mencapai usia mumaiyiz, iaitu usia anak anak mampu melakukan urusan khusus tanpa bantuan orang lain.  Contoh amalan khusus adalah seperti di bawah.
  • Mampu makan dan minum dengan sendiri.
  • Mampu menguruskan diri sendiri ketika ke tandas untuk qadha’ hajat.
  • Menyuci & membersihkan diri sendiri dari kotoran.
  • Mengambil wudhu.

Telah disepakati & di tetapkan bahawa usia mumayyiz kanak kanak apabila sampai usia 7 tahun. Namun ada juga kanak kanak yang sampai usia mumaiyiz pada usia 8 tahun mengikut keadaan kanak-kanak tersebut. Anak anak tidak dikira telah mumaiyiz hanya berdasarkan usianya semata mata.

Ini dapat kita perhatikan daripada, Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 84 yang menyebut

Hak hadhinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadhinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.
Setelah tamatnya hak hadhinah, jagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.


Upah hadhanah


Upah hadhanah ialah duit yang diberikan kepada pihak yang diberikan hak hadhanah.

  1. Bagi isteri yang baru diceraikan dan masih dalam tempoh iddah, menerima nafkah dari bekas suaminya, dan pada masa yang sama mengasuh anak anaknya, upah hadhanah tidak layak diberikan kepada isteri tersebut kerana nafkah dan upah hadhanah tidak boleh dihimpunkan pada satu masa.
    .
  2. Sekiranya isteri tersebut bercerai mati, maka upah hadhanah berhak diberikan kepadanya kerana si isteri tidak memperolehi nafkah dari suaminya jika dibandingkan dengan bercerai hidup.
    .
  3. Sekiranya bekas isteri telahpun habis waktu iddah dan sudah tidak menerima nafkah daripada bekas suami, beliau berhak menerima upah Hadhanah untuk tugas yang digalasnya bagi pihak bekas suami atau wali anak anaknya.
    .
  4. Sekiranya anak di asuh oleh selain dari ibunya, pengasuh tersebut layak menerima upah hadhanah dan  bayaran dikira dari hari pertama menjaga anak tersebut. Upah ini berbeza dari nafkah yang diberikan terdapap anak tersebut. Bapa ataupun penjaga anak tersebut wajib melangsaikan bayaran tersebut atau ia dikira sebagai hutang. Melainkan pengasuh tersebut menghalalkannya atau melakukan kerja asuhan itu secara sukarela.



Bagaimana pula hak penjagaan anak selepas mumaiyiz ditentukan?


Tiba juga kita ke akhir artikel, penting untuk kita fahami hak penjagaan anak / hadhanah ini kekal sehinggalah anak tersebut mumaiyiz.

Hak yang diberikan ini akan terangkat selepas kanak kanak tersebut sudah mampu berfikir dan membezakan baik dan buruk, dan sudah tidak memerlukan asuhan dan jagaan.

Dengan terangkatnya hak hadhanah, dan digantikan oleh hukum kewalian kerana anak tersebut sudah besar dan mumayyiz. Jika pihak yang berkelayakan mengasuh dan mempunyai kewalian ibu dan bapa yang beragama islam, anak lelaki ataupun perempuan yang sudah sampai umur mumayyiz diberikan pilihan sama ada mahu hidup bersama ibu ataupun ayahnya.



Rujukan.
  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - http://www.islam.gov.my/e-hadith/
  2. Mufti Wilayah Persekutuan 
  3. Jabatan Bantuan Guaman - http://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/hadanah.pdf


Fiza Haron
Berkelulusan sarjana muda syariah undang-undang perbandingan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dgn diploma lanjutan pentadbiran kehakiman dan guaman Islam UKM, beliau juga mempunyai sijil guaman bagi negeri Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan. Berpengalaman lebih 7tahun, beliau kini bernaung dibawah firma guaman sendiri iaitu Hafizah Haron & Associate. Beliau boleh dihubungi di talian 011-64390556 atau email di mailto:hafizahharonassociates@gmail.com

Postingan Terkait

Formulir Kontak

Name

Email *

Message *