Syarat syarat untuk memohon hadhanah
Apakah kelayakan yang diperlukan untuk mendapat hak jagaan anak?
Sering kali terjadi perebutan hak penjagaan anak dikalangan suami isteri yang telah berpisah. Sekiranya anda telah membaca artikel yang kami kongsikan sebelum ini tentang hadhanah, terdapat urutan yang perlu diikut dimulai oleh ibu kanak kanak tersebut.
Senarai artikel di dalam siri hadhanah
- Hadhanah - Hak penjagaan anak dalam islam.
- Makna hadhanah dari pelbagai sumber muktabar.
- Apakah yang melayakkan seseorang mendapat hak jagaan anak? (Artikel ini)
- Berapa lama tempoh jagaan hadhanah?
- Proses perlaksanaan hadhanah oleh Mahkamah Syariah di Malaysia.
Namun begitu, semua individu di dalam senarai tersebut mestilah memenuhi syarat syarat di bawah.
(a) dia adalah seorang Islam.
Justeru, di sisi mazhab Imam Syafie sekiranya kanak-kanak itu seorang Islam kerana mengikuti ayah atau ibunya, maka tidak sabit hadhanah bagi pihak yang bukan Islam, kerana hadhanah itu adalah wilayah, sedangkan tiada wilayah kekuasaan bagi orang kafir ke atas orang Islam. Ini berdalilkan firman Allah Taala:
وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Nisa’: 141)
Larangan ini juga disebabkan jika hadhanah ke atas seorang kanak-kanak Muslim jatuh kepada orang bukan Islam, berkemungkinan kanak-kanak itu akan dipengaruhi akan agamanya; daripada Islam kepada agama selainnya.
Mereka juga berdalilkan firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.
(Surah al-Tur: 21)
Adapun hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdul Hamid bin Jaafar yang menyebut:
أَخْبَرَنِي أَبِي عَنْ جَدِّي رَافِعِ بْنِ سِنَانٍ أَنَّهُ أَسْلَمَ وَأَبَتْ امْرَأَتُهُ أَنْ تُسْلِمَ فَأَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ ابْنَتِي وَهِيَ فَطِيمٌ أَوْ شَبَهُهُ وَقَالَ رَافِعٌ ابْنَتِي قَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اقْعُدْ نَاحِيَةً وَقَالَ لَهَا اقْعُدِي نَاحِيَةً قَالَ وَأَقْعَدَ الصَّبِيَّةَ بَيْنَهُمَا ثُمَّ قَالَ ادْعُوَاهَا فَمَالَتْ الصَّبِيَّةُ إِلَى أُمِّهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ اهْدِهَا فَمَالَتْ الصَّبِيَّةُ إِلَى أَبِيهَا فَأَخَذَهَا
Maksudnya: Bapaku telah menceritakan kepada aku berkenaan datukku Rafi’ bin Sinan, bahawa dia telah memeluk Islam, sedangkan isterinya (nenekku) enggan berbuat demikian. Maka nenekku telah berjumpa Nabi SAW dan berkata “Ini adalah anakku, dan dia baru saja berhenti dari menyusu denganku (fathim). Maka Baginda SAW menyuruh datukku untuk duduk di satu sudut, dan menyuruh nenekku untuk duduk di satu sudut yang lain, dan meletakkan anak kecil itu di antara mereka berdua. Kemudian Nabi SAW berkata “Biarkannya (memilih).” Maka anak kecil itu pun menuju ke arah ibunya. Kemudian Nabi SAW berdoa “Ya Allah berilah hidayah kepadanya (anak kecil).” Kemudiannya anak kecil itu menuju ke arah bapanya, dan dia pun mengambilnya.
Riwayat Abu Daud (no.2244); Ahmad (no.23122) dalam Musnad; al-Nasa’ie (no.3495); al-Daruqutni (no.2530); al-Baihaqi (no.1341) dalam Sunan al-Kubra; dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (no.2754)
Berkata Imam Ibn Ruslan dalam Syarah Sunan Abi Dawud (10/41): “Istidlal daripada hadis ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mumaiyiz apabila ibu bapanya berpisah dalam hal keadaan kedua-duanya layak untuk membelanya (secara kafalah) dan kedua-duanya tinggal dalam satu negeri yang sama, maka ke atas anak itu hak memilih salah seorang daripada keduanya, sama ada anak itu lelaki atau perempuan. Ibn al-Qasim, Abu Thaur dan Ashab al-Ra’iy beristidlal dengan riwayat ini bahawa ibu yang bukan Islam mendapat hadanah anak yang Islam dan jika anak itu mumaiyiz dia boleh memilih antara ibu yang bukan Islam dan ayah yang Islam. Manakala berkata Malik, al-Syafie dan Ahmad: Tiada hadhanah bagi orang perempuan kafir ke atas Muslim, dan tidak boleh memilih antara keduanya, bahkan Muslim lebih berhak terhadap anak itu.”
Dalam hadis lain daripada Rafi’ bin Sinan RA bahawa dia telah menganut Islam, namun isterinya enggan (menganut Islam). Lalu dibawa kepada Nabi ﷺ anak kecil mereka dan berkata bahawa anak ini masih menyusu atau seumpama dengannya. Rafi’ berkata: “Anak perempuanku.” Nabi ﷺ berkata kepadanya:
اقْعُدْ نَاحِيَةً، وَقَالَ لَهَا: اقْعُدِي نَاحِيَةً، قَالَ: وَأَقْعَدَ الصَّبِيَّةَ بَيْنَهُمَا، ثُمَّ قَالَ: ادْعُوَاهَا، فَمَالَتِ الصَّبِيَّةُ إِلَى أُمِّهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ اهْدِهَا، فَمَالَتِ الصَّبِيَّةُ إِلَى أَبِيهَا، فَأَخَذَهَا
Maksudnya: “Duduklah kamu di satu sudut (Nabi SAW meletakkan si bapa di satu sudut). Nabi SAW berkata kepada si ibu pula: Duduklah kamu di satu sudut yang lain. Lalu Nabi SAW meminta keduanya untuk memanggil anak mereka. Setelah itu, anak tersebut cenderung kepada ibunya. Lalu Nabi SAW pun berdoa, “Ya Allah berikannya (anak kecil tersebut) petunjuk.” Maka dengan itu, anak tersebut cenderung kepada bapanya dan dengan itu dia (si bapa) mengambilnya (mengambil hak penjagaan anak tersebut).”
Riwayat Abu Daud (2244). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan perawinya adalah thiqah.
Imam al-Khattabi di dalam kitabnya dalam memahami hadith ini, bahawa jika berlaku perselisihan di antara orang Islam dan bukan Islam dalam penjagaan anak, maka orang Islam adalah lebih berhak dengannya dan ini merupakan pandangan Imam al-Syafie. Lihat Ma’alim al-Sunan (3/262).
Jumhur ulama (al-Hanafiyyah, al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah) berpandangan, anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam itu ibu ataupun bapa. Manakala mazhab al-Malikiyyah pula berpendapat, anak-anak mengikut agama bapa, tanpa mengira bapa itu Islam ataupun tidak. Manakala pendapat Sufyan al-Thauri bahawa kanak-kanak berkenaan diberikan pilihan selepas dia baligh untuk mengikut agama ibu atau agama bapanya. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/271).
Begitu juga dalam soal hadhanah, ulama mazhab Maliki dan Hanafi tidak mensyaratkan Islam ke atas penjaga wanita. Justeru, boleh jadi hak penjagaan seseorang kanak-kanak itu diberikan kepada wanita yang bukan Islam tetapi status agama anak itu kekal sebagai Islam. Disebut dalam al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (17/305-306):
أَمَّا عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ فِي الْمَشْهُورِ عِنْدَهُمْ وَعِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ بِالنِّسْبَةِ لِلْحَاضِنَةِ الأُْنْثَى، فَلاَ يُشْتَرَطُ الإْسْلاَمُ إِلاَّ أَنْ تَكُونَ الْمَرْأَةُ مُرْتَدَّةً، لأِنَّهَا تُحْبَسُ وَتُضْرَبُ - كَمَا يَقُول الْحَنَفِيَّةُ - فَلاَ تَتَفَرَّغُ لِلْحَضَانَةِ.أَمَّا غَيْرُ الْمُسْلِمَةِ - كِتَابِيَّةً كَانَتْ أَوْ مَجُوسِيَّةً - فَهِيَ كَالْمُسْلِمَةِ فِي ثُبُوتِ حَقِّ الْحَضَانَةِ، قَال الْحَنَفِيَّةُ: مَا لَمْ يَعْقِل الْمَحْضُونُ الدِّينَ، أَوْ يُخْشَى أَنْ يَأْلَفَ الْكُفْرَ فَإِنَّهُ حِينَئِذٍ يَنْزِعُ مِنْهَا وَيُضَمُّ إِلَى أُنَاسٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، لَكِنْ عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ إِنْ خِيفَ عَلَيْهِ فَلاَ يَنْزِعُ مِنْهَا، وَإِنَّمَا تُضَمُّ الْحَاضِنَةُ لِجِيرَانٍ مُسْلِمِينَ لِيَكُونُوا رُقَبَاءَ عَلَيْهَا
“Adapun di sisi Malikiyyah dan seumpamanya daripada mazhab Hanafiah dengan nisbah kepada penjaga perempuan, maka tidak disyaratkan Islam, melainkan jika penjaga perempuan itu seorang yang murtad, kerana keadaannya yang dipenjara atau disebat – mengikut pendapat Hanafiah – maka ia tidak layak untuk hadhanah. Adapun selain wanita Muslim seperti Kitabiyyah atau Majusiyyah maka hukumnya sama seperti Muslimah pada thabitnya hak hadanah. Berkata ulama Hanafi: itu selama mana anak jagaan itu tidak mencapai akal tentang agama, atau menjadi cenderung kepada kekafiran, maka ketika itu dipisahkan dari penjaga wanita bukan Islam dan dikumpulkan bersama orang Islam yang lain. Akan tetapi di sisi Malikiyyah sekalipun jika ditakuti cenderung kepada kekafiran sekalipun tetap tidak boleh dipisahkan, sebaliknya hendaklah dikumpul penjaga perempuan bukan Islam itu bersama jiran yang Muslim supaya rapat dengan anak jagaannya yang Muslim itu.”
(b) dia adalah sempurna akal.
Seseorang yang tidak waras atau gila, hilang kelayakan untuk menjaga anak tersebut.
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Di dalam Seksyen 82, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] ada memperuntukkan syarat-syarat yang telah kami kongsikan di atas sebagai syarat syarat hadhanah.
Rujukan
- Jabatan Bantuan Guaman - http://www.jbg.gov.my/index.php/ms-my/
- Portal Rasmi E Syariah - http://www.esyariah.gov.my/
Fiza Haron Berkelulusan sarjana muda syariah undang-undang perbandingan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dgn diploma lanjutan pentadbiran kehakiman dan guaman Islam UKM, beliau juga mempunyai sijil guaman bagi negeri Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan. Berpengalaman lebih 7tahun, beliau kini bernaung dibawah firma guaman sendiri iaitu Hafizah Haron & Associate. Beliau boleh dihubungi di talian 011-64390556 atau email di mailto:hafizahharonassociates@gmail.com |